Rabu, 19 September 2012

Pemuda PAS Bantah 28 September Ini


SIMPANG RENGGAM – Dewan Pemuda PAS Johor (DPPNJ) akan menganjurkan bantahan sebagai mengecam isu penayangan filem Innocence Of Muslims yang menghina Nabi Muhammad saw di negara ini.
Ketuanya, Suhaizan Kaiat berkata, bantahan tersebut dijadualkan akan dijayakan pada 28 September ini di Batu Pahat.
Selain mengecam sekeras-kerasnya filem tersebut, pihaknya turut menyokong bantahan masyarakat Islam seluruh dunia kepada isu berkenaan.
Berikutan dengan penayangan itu katanya, ia bakal mengundang perpecahan kaum dan memberi kesan yang tidak baik.
”Isu ini telah menimbulkan kemarahan masyarakat Islam seluruh dunia kerana melibatkan sentimen keagamaan yang dipercayai mempunyai tujuan tertentu.
”Oleh itu, saya mengharapkan kerjasama semua pihak termasuk untuk sama-sama berusaha memastikan perkara ini dapat disekat daripada tersebar kerana jelas bakal memberi impak kepada kestabilan negara yang sedia ada supaya ada pergaduhan dan perselisihan faham antara satu sama lain.
”Justeru, ia sememangnya wajar disekat dalam apa jua bentuk media sekalipun. Saya turut menggesa agar kerajaan bersama pertubuhan bukan kerajaan hendaklah mengambil langkah proaktif dalam menangani isu ini dalam apa jua cara sekalipun untuk memastikan ia terhalang,” katanya lagi.
Beliau berkata demikian semasa mempengerusikan mesyuarat bulanan Exco Dewan Pemuda PAS Negeri Johor, di pejabat DPPNJ, Taman Renggam Jaya, dekat sini, semalam.
Hadir sama, Mohd Faizul Salleh, Naib Ketua Pemuda, Mahadzir Mat Zili, Setiausaha Pemuda dan Shamsul Bakri, Ketua Penerangan Pemuda.
Sementara itu, Ibn Bacoks difahamkan, Mahadzir telah dilantik sebagai koordinator majlis bagi melicinkan perjalanan program itu nanti.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan